June 15, 2011

KAFA tidak akan hukum Daudsu - Annuar Musa

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak bercadang mengambil tindakan disiplin atau menukar posisi pemain pertahanannya, Daudsu Jamaluddin sebagai hukuman ekoran kecuaiannya menjaringkan gol ke gawang sendiri ketika menentang Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lepas, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut bukan sengaja dilakukan oleh Daudsu memandangkan dia telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan gawang Kelantan daripada dibolosi.
"Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas Daudsu atas kesilapan menjaringkan gol sendiri pada perla- wanan itu yang menyebabkan Kelantan gagal membawa pulang piala berprestij," katanya kepada pemberita di Bendang Permatang Pusu, Melor dekat Kota Bharu semalam.
Annuar berkata, beliau sedar ramai peminat dan penyokong Kelantan kecewa dan marah terhadap kesilapan pemain Kelantan itu dan sebagai Presiden KAFA, beliau sendiri lebih lagi merasai 'bahang' tersebut.
"Adalah tidak adil jika menghukum seseorang pemain yang baik hanya kerana sekali melakukan kesilapan tidak disengajakan, bukan jenis saya sebagai Presiden KAFA sanggup melakukan perkara itu.
"Malah kita akan terus memberi semangat dan motivasi kerana kita mempunyai misi lebih besar untuk menempah tempat dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
"Kita juga tidak akan tukar posisinya di barisan pertahanan," kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Annuar turut menyambut baik permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh Daudsu dalam media massa dua hari lalu.
"Secara peribadi, tindakan tersebut merupakan sesuatu yang mulia dan saya cukup bangga dengan permohonan maaf secara terbuka yang dilakukan itu," ujarnya.

*see..yang nilah org kata PROFESIONAL.bukan suka2 menghukum seseorang tanpa soal selidik

No comments: